Tuesday, October 2, 2012

Kebesaran Allah SWT


“Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.” (45:5) 

Maha Suci Allah SWT.


Hari ini aku ingin berkongsi cerita tentang pengalamanku sepanjang berada di negara asing. Semoga perkongsian kali ini dapat membuka hati dan minda kita bersama, dengan izin-Nya. 

Seperti biasa, setiap hari Selasa akan ada kuliah Pengajian Islam di universiti. Cuma bedanya kuliah kali ini ialah ia merupakan kuliah terakhir Prof. M. Abdalla, seorang pensyarah yang beragama Islam berasal dari Palestin. Kuliah hari ini sangat luar biasa. MashaAllah. Jika dapat kuputar masa dan rakamkan setiap detik itu, pasti akan aku lakukan. Intipatinya sangat menarik. Terlalu menarik sehingga mampu menitiskan air mata sahabat sekuliahku yang bukan beragama Islam. Ya. Dalam kelas Pengajian Islamku, majoriti pelajarnya ialah pelajar bukan Islam. Sedikit saja dalam kalangan kami yang beragama Islam, dan ada juga yang baru saja memeluk Islam. Subhanallah. Akan saya ceritakan satu persatu, jika diizin Allah SWT.

Kuliah Prof. M. Abdalla hari ini menyentuh tentang sejarah dan pengertian Tasawwuf atau Sufism. Melalui kuliah ini, aku mulai faham dengan lebih dalam tentang konsep Tasawwuf ini. Memang tidak dapat dinafikan, jika disebut saja perkataan Sufism, pasti akan ada reaksi-reaksi negatif. Pendapatku, eloklah kita fahami dulu pengertian dan sejarahnya sebelum kita menilai. Apapun, bukan itu tujuan penulisan kali ini.

Berbalik kepada ceritaku tadi, di sepanjang kuliah tersebut, dapat kurasakan aura yang luar biasa. Beberapa minit sebelum berakhirnya kuliah tersebut, Prof. M. Abdalla membacakan sebuah hadis dan beberapa petikan ayat dari kitab penulisan Imam Al-Ghazali. Suasana ketika itu sangat tenang sehinggalah ketika Prof. M. Abdalla membaca tentang hari kiamat. Ketika itu, terdapat wajah-wajah yang menundukkan pandangannya. Ada juga hati yang tersentuh mendengarnya. Kurenungi wajah-wajah yang bisa kulihat dari kedudukanku ketika itu. Tiba-tiba mataku terhenti pada sebuah raut wajah yang cuba menahan tangisannya. Seorang penulis jurnal yang berasal dari Amerika Syarikat. Seorang sahabat lelaki sekuliahku yang bukan beragama Islam. Maha Suci Allah. Kutundukkan pandanganku sambil memuji kebesaran Allah SWT. Ketika itu aku sedar bahawa Allah telah membuka pintu hatinya, sungguh bersih hatinya sehingga mampu menitiskan air mata ketika mendengar perkongsian Prof. M. Abdalla. Maha Suci Allah.

Setelah kuliah itu berakhir, dilanjutkan pula dengan kelas biasa. Di dalam kelas itu pula, Prof. M. Abdalla mengadakan diskusi tentang pengertian Tasawwuf di pandangan masyarakat. Sebelum berakhirnya kelas tersebut, sekali lagi Prof. M. Abdalla membaca petikan ayat, tetapi kali ini dipetik daripada buku Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah tentang contoh konsep ilmu Tasawwuf yang sebenar. Kali ini, pandanganku hanya difokuskan kepada Prof. M. Abdalla. Setiap satu isi pentingnya kucatit. Mulutku terkumat-kamit cuba mengingati kembali apa yang disampaikan oleh pensyarahku yang memakai jubah kuning langsat itu kerana bimbang akan terlepas isi-isi penting yang sangat bermakna. Kemudian dia berhenti. Tiba-tiba, secara tidak sengaja, aku terpandang raut wajah itu lagi. Dan lagi sekali, pandanganku terhenti melihat kulit wajahnya yang berwarna putih itu bertukar menjadi merah. Saat itu aku mulai sedar, mungkin dia tidak bisa menahan tangisannya lagi. Ditundukkannya pandangannya. Ya. Aku mengerti. Benarlah tekaanku. Maha Suci Allah. Dan pada ketika itu, aku tersenyum. Kerana aku baru sahaja menjadi saksi kebesaran Allah Azza Wa Jalla. Maha Suci Engkau, Ya Allah. Allah telah membuka pintu hatinya. Sungguh lembut hatinya sehingga mampu menitiskan air mata kerana perkongsian ilmu tersebut. Hatiku tersenyum, memuji kebesaran Ilahi kerana telah menjadi saksi kebesaran-Nya.

Ya Rabb, semoga Engkau membuka pintu hatinya untuk menerima Islam dengan sepenuhnya. Sesungguhnya, tiada yang mustahil bagi Engkau, Ya Allah. Engkau Maha Berkuasa.
Jika Allah SWT mahukan, boleh jadi sesiapa saja diberikan-Nya petunjuk hidayah. Ia mengenangkan aku kembali kepada kata-kata ini,

Apabila kamu bertemu dengan orang Kafir, janganlah kamu menghinanya kerana jika Allah menghendaki dan dibukakannya pintu hidayah dan mengucap dua kalimah syahadah, ketika itu dirinya akan bersih daripada dosa-dosanya yang lalu. Ketika itu, dirimu pula terkial-kial memohon keampunan Allah kerana dosa-dosa lalumu.

Dan ini pula mengingatkanku kembali kepada kisah sahabat sekuliahku yang berasal dari Australia yang baru saja memasuki Islam. Jika aku ingat kembali, kisah sahabatku ini sangat luar biasa. Sungguh, benar-benar dapat dirasakan keagungan dan kebesaran Allah apabila mendengar kisahnya. Alhamdulillah. Bukan saja dapat merasakan keagungan dan kebesaran Allah, malah dapat menjadi saksi keagungan dan kebesaran Allah SWT. Bulan Ramadhan yang lepas, dengan izin Allah SWT, sahabatku ini telah mengucapkan kalimah syahadah di hadapan sahabat-sahabat seIslam yang lain di sebuah majlis berbuka puasa. 

Aku baru saja berkenalan dengannya ketika minggu kedua atau minggu ketiga kuliah Pengajian Islam. Aku tidak berapa mengenalinya ketika itu, tetapi atas kehendak dan izin Allah, Allah telah menggerakkan hatiku untuk mengajak dia menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah universiti di Brisbane. Berbeza dengan Malaysia, di sini, setiap universiti yang mempunyai organisasi Islam akan mengadakan majlis berbuka puasa dan menjemput saudara-saudara yang bukan beragama Islam untuk hadir ke majlis tersebut. Mereka bukan saja akan dijamu dengan makanan, malah mereka juga diberi sedikit pendekatan tentang Islam. Ketika itu adalah malam-malam terakhir bulan Ramadhan, dan pada ketika itulah sahabatku ini mengucapkan dua kalimah syahadah. Ada yang menangis gembira dan ada juga yang melaungkan takbir. Dan aku, mataku dibasahi dengan air mata. Malam itu merupakan malam yang tidak akan dapat aku lupakan. Maha Suci Allah. Kerana ketika itu aku mulai sedar bahawa Allah SWT telah menjadikan aku perantaraan untuk Allah memakbulkan hasrat sahabatku ini yang memang sudah lama berniat untuk memeluk Islam. Maha Suci Allah. Aku dapat rasakan keagungan Allah SWT. Pada masa yang sama, Allah SWT juga telah memakbulkan hasrat aku untuk menjadi saksi melihat saudara yang diberi hidayah mengucapkan dua kalimah syahadah dan sekaligus menjadi saudara baru. Maha Suci Allah.

Ya Allah, segala puji-pujian bagi Allah SWT. Sungguh, Engkau Maha Berkuasa. Tetapkanlah hati kami pada jalan yang lurus. Janganlah Engkau tarik nikmat hidayah ini setelah Engkau berikannya kepada kami. Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan yang Maha Mengasihani.

Semoga hasil perkongsian ini dapat membuka pintu hati kita semua untuk kembali kepada Allah SWT. Siapapun kita di pandangan masyarakat, jika kita tidak terkenal di pandangan Allah SWT, kita tetap berada dalam kegagalan.

Segala yang baik itu datang dari Allah SWT dan sebaliknya dari kelemahan diri ini. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosaku.